Demam Denggi

            Demam denggi ialah sejenis penyakit bawaan nyamuk yang menjadi masalah utama kesihatan awam antarabangsa dalam beberapa tahun kebelakangan ini. Jenis demam denggi yang lebih merbahaya ialah demam denggi berdarah. Ia merupakan punca utama kematian kanak-kanak di kebanyakan negara hari ini.Demam denggi dibawa oleh nyamuk Aedes kepada manusia melalui gigitannya.

               Pelbagai kempen kesedaran dan penerangan tentang bahaya denggi dan nyamuk aedes dijalankan, namun ia seperti mencurah air ke daun keladi. Apakah kempen kesedaran tidak meninggalkan bekas di hati dan minda masyarakat atau kempen itu sendiri yang gagal adalah dua perkara yang perlu dipersoalkan. Hakikatnya, saban tahun negara akan dikejutkan dengan kematian disebabkan denggi.

              Pesakit yang mengalami tanda-tanda dan menunjukkan gejala-gejala demam denggi hendaklah mendapatkan rawatan segera. Kebiasaannya pesakit yang disyaki denggi akan diberikan ubat demam dan dinasihatkan berehat serta digalakkan meminum air dengan lebih kerap. Pesakit akan dimasukkan ke wad sekiranya disyaki menghidap demam denggi berdarah dan semasa menjalani sesi rawatan pesakit akan di beri  rawatan utama iaitu terapi sokongan. Pesakit digalakkan untuk mengekalkan cecair  badan mengambil air dengan banyak. Sekiranya pesakit tidak mahu  atau mampu minum, air  akan ditambahan melalui cecair intravena akan diberikan untuk menghalang kekeringan air dalam badan dan hemoconcentration teruk. Pemindahan darah mungkin diperlukan sekiranya kuantiti platlet darah turun dengan mendadak.


               Simptom-simptom demam denggi ialah:
               -         demam kuat secara mengejut.
               -         demam berterusan
               -         sakit teruk pada tulang-tulang, otot, sendi, mata
               -         ruam atau bintik merah di kulit
               -         pendarahan di bawah kulit, hidung serta gusi
               -         pesakit juga akan mengalami sakit kepala
               -         hilang selera makan
               -         muntah-muntah dan sakit perut.


               Amalan pencegahan boleh dilakukan dengan menjaga kebersihan sekeliling rumah sama ada di dalam dan di luar rumah bagi menghindarkan pembiakan nyamuk. Pekara ini perlu kerana tanpa kita sedar kawasan rumah dalah kawasan yang amat sesuai sebagai habitat pembiakan nyamuk Aedes. Cara yang paling praktikal dalam usaha mengelakkan dijangkiti  demam denggi dan menghalang pembiakan nyamuk antaranya ialah  menggunakan penyembur racun serangga, memasukkan ubat pembunuh jentik-jentik ke dalam bekas simpanan air, menutup semua bekas menyimpan air dengan rapat untuk mencegah nyamuk daripada bertelur, sentiasa menukar air di dalam bekas simpanan air, jambangan bunga dan kolah mandi setiap minggu. Orang ramai perlu memberi kerjasama dan membenarkan petugas menyembur kabus (fogging) di dalam rumah. Aktiviti gotong royong membersihkan kawasan persekitaran sangat digalakkan untuk mencegah pembiakan nyamuk aedes.

                  Justeru itu, demam denggi merupakan penyakit yang sangat berbahaya dan mengancam kesejahteraan hidup dan masyarakat setempat. Walaupun kita kerap didedahkan dengan berita tentang kematian akibat deman denggi ini, masyarakat masih lagi mengabaikan tahap kebersihan rumah dan kawasan persekiran. Masyarakat dan pihak penguatkuasaan perlu lebih melipatgandakan usaha untuk mencegah penyakit demam denggi. Pihak berkuasa perlu melaksanakan penguatkuasan berterusan yang lebih berkesan agar dapat menghapuskan kawasan pembiakkan nyamuk. Sekiranya pekara ini dilaksanakan dengan lebih berkesan sudah pasti masalah denggi dalam kalangan masyarakat kita dapat dikawal dan dikurangkan. Ingatlah “Denggi Membunuh”.