CARA - CARA MENGATASI MASALAH DADAH

   Kini, kita sering terbaca di dada akhbar mengenai penyalahgunaan dadah di kalangan murid-murid yang sering menjadi isu polemik dalam kalangan media massa yang meniti dari bibir ke bibir. Mengapakah hal ini boleh menular dalam kalangan murid-murid? Sudah tentu sesuatu perkara yang berlaku ada puncanya. Hal ini kerana, pepohon pokok tidak akan berliuk lentuk jikalau tiada angin yang meniupnya. Terdapat pelbagai cara untuk mengatasi penyalahgunaan dadah di kalangan murid-murid.

 
            Antaranya, ibu bapa hendaklah memainkan peranan yang penting dalam membendung masalah ini. Ibu bapa hendaklah mendidik cahaya mata mereka sejak kecil lagi mengenai penyalahgunaan dadah. Hal ini kerana, melentur buluh biarlah dari rebungnya. Sebagai contoh, apabila mereka dewasa kelak, sudah tentu mereka pintar untuk membuat perbezaan untuk memilih intan atau kaca. Janganlah kita jadi seperti ketam yang mengajar anak mereka berjalan lurus, sedangkan dia sendiri yang berjalan senget. Sudah terang lagi bersuluh, peranan ibu bapa dapat membendung penyalahgunaan dada di kalangan murid-murid.



             Selain itu, peranan pihak sekolah juga turut dapat mengatasi masalah ini yang merebak seperti virus epidemik di kalangan murid-murid. Pihak sekolah boleh mengadakan aktiviti-aktiviti yang boleh mendatangkan kemaslahatan kepada murid-murid. Biar kita ambil sebagai contoh, pihak sekolah boleh mengadakan ceramah mengenai penyalahgunaan dadah di kalangan murid-murid. Melalui cara ini, murid-murid dapat menghindarkan diri mereka daripada perkara yang tidak berfaedah seperti mencencang air yang boleh membawa impak negatif dalam diri mereka. Oleh hal yang sedemikian, pihak sekolah hendaklah memainkan peranan yang penting bagi mengatasi masalah ini yang boleh menjejaskan imej sesebuah sekolah.


            Selain itu, badan-badan NGO boleh mengadakan serta menganjurkan perkhemahan bagi menerapkan nilai-nilai murni dan berkongsi sebarang maklumat mengenai keburukan pengambilan dadah. Berlandaskan kepada keyakinan bahawa peranan golongan wanita penting dalam usaha untuk mencapai matlamat Malaysia bebas dadah 2015, maka strategi terus dibuat bagi memperkasakan peranan wanita dalam usaha-usaha untuk mencegah penyalahgunaan dadah melalui program “Masyarakat Wanita Antidadah” (Mawadah). Masyarakat haruslah membuka minda dan tidak memandang serong terhadap penagih dadah. Mereka perlulah cuba untuk berdampingan dengan penagih tersebut seterusnya mengajak serta memberi galakan kepada mereka untuk meninggal kegiatan terkutuk itu melalui “Kempen Anti Dadah”.

              Di samping itu, kecanggihan teknologi dan komunikasi menjadikan media massa sebagai agen penyalur maklumat. Pihak media massa boleh mengadakan kempen-kempen kesedaran kepada orang ramai seperti “Belia Benci Dadah”. Televisyen, internet dan radio dijadikan medium perantaraan maklumat berbentuk drama atau filem yang berunsurkan nasihat dan pengajaran. Nilai-nilai murni dan permuafakatan antara masyarakat dapat dipupuk seterusnya ia sedikit sebanyak mengurangkan aktiviti pengambilan dadah oleh masyarakat.

              Kanak- kanak dan golongan remaja perlu dididik sejak dari kecil bahaya dadah adalah benda yang kotor dengan memberi penekanan terhadap kesan buruk penyalahgunaan dadah.Pemantauan hendaklah sering dilakukan terhadap penagih dadah untuk mencegah mereka daripada bergaul dengan rakan lama bagi mengelakkan mereka terlibat dalam kancah dadah semula kerana ia akan memudahkan mereka mendapat bekalan dadah dengan mudah.



              Konklusinya, semua pihak hendaklah berganding bahu dalam mengatasi penyalahgunaan dadah di kalangan pelajar yang semakin merebak seperti virus epidemik. Hal ini kerana, berat sama dipikul ringan sama dijinjing. Melalui cara ini, kita dapat merialisasikan impian Perdana Menteri kita untuk menjadikan Malaysia sebuah negara yang maju berdiri gah dipersada dunia selaras dengan gagasan satu Malaysia, rakyat didahulukan, pencapaian di utamakan.